Sesampai jer aku dari Mentakab ke Machang terus pergi Hospital Machang untuk tengok isteriku, walaupun badan keletihan memandu 7 jam tetap digagahkan juga.
Memandangkan waktu melawat tengah hari singkat sebab aku sampai pun sudah lambat maka berjanji hendak datang belah petang pula iaitu jam 5 petang. Dapatlah bersembang panjang.
Sebelum jam 7 malam aku dan mak mertua telah keluar dari wad untuk pergi makan malam, lokasi kedai yang jadi pilihan betul-betul depan hospital kerana niat hendak tunggu seketika di ruangan menunggu, mana tahu ada perkembangan baik. Jam 8 malam adik ipar aku datang untuk bawa mak mertua aku pulang, maka tinggallah aku seorang sahaja menunggu. Tapi tidak lama, sekitar jam 9.30malam aku sudah sedia untuk pulang, isteriku suruh balik dan berehat di rumah.
Sepanjang hari ini isteriku telah buat beberapa kali pemeriksaan untuk memastikan saiz bukaan pada laluan bersalin. Pada permulaan hanya 2 cm sahaja, tapi pada sebelah petang telah ada perubahan iaitu bacaan menunjukkan 3 cm lebih. Aku harap bukaan maksimum boleh dicapai pada malam ini juga dan isteriku akan segera dibawa ke bilik bersalin. Rasa tidak sanggup melihat kesakitan yang dialaminya. Kepada baby silalah keluar dengan cara baik dan tidak menyakitkan mama yer.
Semoga hari esok akan memberi khabar gembira, ingin tidur merehatkan badan dan menenangkan minda.







