Pengalaman Pembedahan Kecil Buang Gigi Geraham Bongsu di HOSHAS.

Syukur Alhamdulillah akhirnya penantian selama sebulan untuk cabut gigi geraham bongsu telah berakhir. Khamis yang lepas aku ke Hospital Temerloh untuk temujanji pembedahan kecil bagi membuang gigi geraham bongsu yang bermasalah. Sepatutnya Khamis 06 Oktober yang lepas aku jalani proses ini tapi disebabkan aku masih batuk-batuk dan selsema maka kenalah hubungi pihak Pakar Bedah Mulut HOSHAS untuk pindah tarikh lain, mereka yang maklumkan dalam keadaan batuk tidak boleh jalankan proses pembedahan kecil tersebut.

Pada hari kejadian aku sampai awal setelah pergi sarapan berat bersama isteriku, ini adalah perlu kerana selepas operasi nanti akan memakan masa untuk kita boleh menerima sebarang makanan mahupun minuman. Isteriku terpaksa cuti pada hari itu kerana doktor tidak menyarankan aku memandu sendiri selepas prosedur itu.

Ada 2 orang doktor terlibat, seorang doktor cina perempuan dan seorang doktor lelaki melayu. Doktor lelaki tersebut yang jalankan prosedur pembedahan kecil tersebut manakala sebelum itu doktor perempuan itu yang siapkan aku untuk sedia dibedah. Pertama kali rasa cabut gigi diselimutkan badan dan ditutup mata dengan kain. Sekeliling mulut juga disapukan dengan cecair iodin kuning tu. Bius diberikan sekitar kawasan gigi itu sebanyak 3 suntikan. Selepas itu sapuan steroid turut dibuat pada bibir. Dalam beberapa minit memang separuh mulut kebas dan seakan lumpuh dari segala rasa.

Apabila doktor pakar tersebut masuk dia sedia dah nak jalankan prosedur, kalau tidak silap aku nama dia doktor Syed. Sebelum mula dia sebut dulu masa bermula iaitu 10.34 pagi, tetiba rasa teringat drama korea Doctors…hehe

Sepanjang prosedur tu memang tidak rasa sakit langsung hanya dengar bunyi mesin yang digunakan sahaja sehinggalah ada bahagian hujung mesin tersebut yang agak panas kena pada hujung bibir aku (doktor Syed ada sebut bahagian tersebut sepatutnya tidak panas dan dijangka ada masalah yang perlukan baikpulih) dan terkeluarlah sikit suara.

Proses mencabut gigi geraham bongsu tu ialah dengan membelah gigi tersebut kepada 2 bahagian namun bahagian pertama terpatah kepada 2 ketika proses mencabutnya. Apa yang diterangkan doktor selepas tamat pembedahan tersebut sambil menunjukkan gigi yang telah dicabut sedikit sebanyak meyakinkan aku bahawa semua bahagian gigi telah selamat dikeluarkan.

Bahagian gusi yang terbuka dijahit untuk mengelakkan sisa makanan masuk dan dengan itu bolehlah cepat sembuh luka yang terhasil. Proses ini selesai pada jam 11 pagi. Agak cepat juga proses cabut dan jahit yang dilakukan.

Terima kasih doktor untuk pengalaman yang tidak menyakitkan ini.

Cabut-gigi-geraham-bongsu-02.jpg

Makanan pertama yang aku makan sebaik sahaja sampai rumah ialah Bihun Sup yang suam dan juga Air Jagung ais. Syukurlah boleh makan dengan mudah dan senang. Aku hanya tukar sekali sahaja kapas yang dibekalkan, buang sebelum nak makan dan lepas itu tiada lagi pendarahan yang terjadi makanya aku tak gigit dah kapas yang dibekalkan. Ambil sebiji ubat tahan sakit selepas makan sebagai persediaan agar kesan sakit tidak terasa sangat.

Pada awalnya isteriku ambil cuti 2 hari untuk jaga orang sakit ini…hehe tapi disebabkan aku rasa tidaklah berapa sakit sangat maka keesokan harinya aku suruh isteri pergi kerja seperti biasa. Aku hantar anak-anak ke taska awal pagi macam biasa dan lepas itu pergi beli sarapan dan balik berehat di rumah. Doktor bagi cuti sakit 2 hari jadi berehatlah dengan harapan cepat sembuh.

Hari ini pun dah rasa semakin baik, bengkak di pipi sahaja yang masih ada sebab kawasan luka masih lagi ada bengkak yang belum surut. Hujung bibir yang melecur juga belum pulih lagi.

Semoga hari Isnin nanti boleh bekerja seperti sediakala kerana ada jamuan katanya, rugi kalau tak pergi…hehe

Ejam Othman

Saya Ejam atau nama sebenarnya Mohd Hairulnizam Bin Othman adalah seorang blogger separuh masa. Kini berkhidmat untuk rakyat jelata. Minat menulis dan merakam gambar sesuai dengan tagline blog ini “Setiap Gambar Ada Cerita”. Hubungi atau kenali saya lebih lanjut. Saya juga menyediakan ruang Advertorial berbayar di blog ini.

You may also like...

13 Responses

  1. adoiii sakit gigi jangan buat main….dia punya menyucuk tak tahan….setengah orang hanginnn je masa tu. Moga allah memberikan penyembuhan segera pada bro. sabar n solat.

  2. isshhh ya Allah..saya pun ada gigi susu tak tercabut lagi..nak buat operation nk buang tapi takutnyeee… Semoga cepat sembuh bro..

  3. Anarm says:

    Bedah?! Erkk.. Takut pulak rasa. Ada jugak 1 gigi ni macam nak kena bedah je. Tapi takut nak pergi jumpa doktor. Hehe..

    • Ejam Othman says:

      pembedahan kecil jer sebab kedudukan gigi tu tidak boleh dicabut dengan cara biasa.
      saya pun mula-mula takut juga tapi disebabkan rasa sakit mengatasi rasa takut maka serah diri jugalah janji lepas ini tidak sakit lagi dah.

      ternyata ketika proses tu rasa kebas yang dibekalkan cukup untuk buat diri tidak rasa sakit langsung….syukur Alhamdulillah.

  4. Afif Rayyan says:

    Ble baca entri nie macam tak sakit je cabut gigi.. bukan seperti yang saya selalu dengar lah

  5. Ato says:

    siksanya bila gigi sakit. pernah rasa dah gigi kena cabut 2 3 kali. perasaan takut tetap ada. tapi lepas dah kena cabut, baru perasaan selesa.

  6. syukur penderitaan da berakhir, semoga cepat sembuh ek

  7. Tahniah…

    Gua sampai sekarang tak berani nak jumpa doktor gigi.. Harap gigi bongsu gua tumbuh dengan sihat, xpun mereput tanpa memberi kesan kepada gua.

  8. Ummar Farouk says:

    Betul tu. Gigi graham kecil memang menyeksakan lagi menyakitkan selagi tak dibuang. Rasa mcm sakit gigi yg amat. Umpama parasit dlm mulut. Sampai berdenyut kepala dibuatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *