Cerita Cuti CNY.

Mood menulis di blog datang kembali, rasa nak ceritakan kisah sepanjang cuti Tahun Baru Cina yang lepas. Bermulanya kami bercuti adalah hari pertama Tahun Baru Cina tapi isteriku hari Jumaat lagi dah cuti manakala anak-anak hari Khamis lagi dah mula bercuti sama dengan jadual cuti budak sekolah yang lain. Petang Jumaat itu mak mertua dan keluarga adik ipar dari Kelantan datang ke rumah kami sebab rancang nak pergi kenduri kahwin sepupu sebelah isteri di Felda Pasoh 1. Dari rumah kami makan masa 2 jam juga nak sampai ke lokasi tersebut, kalau ikut jarak perjalanan tidaklah jauh mana tapi disebabkan banyak selekoh maka tidaklah boleh memandu laju sangat. Paling sakit hati bila ada kereta myvi putih yang sayang sangat kereta sampai setiap kali halangan kecil ataupun besar dia akan brek sampai berhenti kereta yang beratur di belakangnya….errrgghhhh geram.

Memandangkan kami sebahagian daripada rombongan pengantin lelaki maka dapatlah tempat makan istimewa. Menu yang dihidangkan untuk rombongan juga boleh tahan sedap, ada ayam golek (ini paling sedap sampaikan 3 kali minta wakil tuan rumah tambahkan), patin tempoyak, masak lemak cili api daging dan perut. Bagi aku sedap dah menu tu semua dan kena pada tekak aku.

Lepas siap makan tak tunggu lama dah sebab nak bergerak pulang ke kampung Kelantan pula. Lebih kurang jam 1.30 tengah hari kami mulakan perjalanan. Berhenti di beberapa lokasi untuk solat dan hal-hal yang lain, akhirnya jam 9 malam sampai ke kampung.

Daris Aqil balik kampung dalam keadaan batuk-batuk dan tidak selesa badan akibat gatal-gatal yang lazim terjadi bila dia kurang sihat. Mak mertua cadangkan sapu Balm Gamat ini pada kulit Aqil, syukurlah dia lega sikit dan kurang kesan gatal tersebut.

Bila dah balik kampung memang akan ada jumpa kucing di rumah tapi memandangkan Haq dan Aqil takut pada kucing maka banyaklah adegan menjerit bila kucing menghampiri dan lalu di tepi mereka. Nasib baik ada anak kucing nama Comel ini yang tidak menakutkan mereka sebab anak kucing ini tidak banyak bunyi cuma akan datang dekat bila nampak kita tengah makan saja. Aqil beranilah untuk sentuh manja anak kucing ini, jadilah daripada terus-terusan takut pada binatang comel begini sebab susah nak makan di gerai yang ada kucing.

Bila dah balik kampung secara otomatiknya Aqil dan Haq terus jadi budak kampung, main ikut suka jer dan lupa dah gatal-gatal pada badan dia tu tapi bila malam mulalah merengek minta garukan badan dia. Dalam pada garukan tu kena juga bebel, mana taknya main asal boleh jer. Air dalam anak sungai yang berhampiran rumah juga kelihatan agak tinggi dari biasa tengok sebelum ini mungkin sebab masih dalam musim hujan kan.

Apa yang aku tengok Haq dan Aqil ada juga cuba-cuba nak main air tu tapi aku tegah, yang aku nampak bolehlah tegah yang tak nampak tu sempat kot celup kaki.

Kalau tak main pasir memang tak sah, mana tempat yang ada pasir jadi saja mainnya termasuklah dalam tapak rumah adik ipar yang masih dalam proses pembinaan ini. Aku tak sabar juga nak tengok hasil akhir rumah itu yang dibina sendiri oleh adik ipar, orang kerja tukang buat rumah boleh jimat banyak dah bila bina rumah sendiri.

Rezeki bakal dapat baby bulan 5 nanti dapat pula naik rumah baru.

Balik kampung makan gula-gula dan jajan memang dah macam makan nasi pula Haq dan Aqil. Kalau nampak bolehlah ditegur, yang makan sembunyi-sembunyi tu kira halal jeler. Tengok saja gambar kantoi tengah makan gula-gula tu, di ingatkan menyorok bawah rumah aku tak nampak. Gula-gula yang belum buka tu semua aku rampas, bagi satu yang dalam mulut tu jer. Mana boleh dibiarkan buat dan makan ikut suka nanti makin menjadi-jadi batuknya.

Akhirnya tewas juga dari batuk-batuk membawa ke demam pula. Sampai ke rumah dari kampung malam itu juga terus pergi Klinik Zulkarnain, lega sikit kalau dah ambil ubat dan antibiotik.

Sehingga hari ini batuk-batuk masih ada lagi tapi tidaklah teruk, demam dah beransur pulih. Sekolah pergi macam biasa sebab kami sudah tidak boleh cuti, kena jimat-jimat cuti rehat untuk kegunaan sepanjang tahun.

Ejam Othman

Saya Ejam atau nama sebenarnya Mohd Hairulnizam Bin Othman adalah seorang blogger separuh masa. Kini berkhidmat untuk rakyat jelata. Minat menulis dan merakam gambar sesuai dengan tagline blog ini "Setiap Gambar Ada Cerita". Hubungi atau kenali saya lebih lanjut. Saya juga menyediakan ruang Advertorial berbayar di blog ini.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *