Menariknya Kuala Lumpur Di Malam Hari.

Bila sebut Malaysia di luar negara mereka akan lebih jelas jika dinyatakan Kuala Lumpur sebagai gambaran utama, ya kita tahu bahawa Kuala Lumpur merupakan ibu negara kita maka sesuai sangatlah menjadi rujukan. Kerancakan pembangunan di kota raya ini juga kian berkembang selari dengan pelbagai kemudahan yang turut disedia dan ditambahbaik dari masa ke semasa. Kemudahan awam seperti pengangkutan adalah nadi bandaraya untuk menggerakkan penghuninya dalam menjalani kehidupan seharian.

Kuala Lumpur ada daya tarikan dan keunikannya yang tersendiri, kehendak dan keperluan setiap orang berbeza-beza. Dari aspek tarikan pelancongan ada yang suka pada lokasi menarik seperti bangunan, taman tema mahupun ruang pameran dan pendidikan. Tidak kurang juga pada tarikan yang melibatkan makanan mahupun minuman. Pusat hiburan juga ada untuk memenuhi permintaan mereka yang inginkan hiburan di malam hari.

Kredit: FB Expo Negaraku.

Kemudahan dan Pengangkutan Awam.

Untuk bergerak dari lokasi ke lokasi di sekitar Kuala Lumpur tidak menjadi masalah kerana pelbagai kemudahan dan pilihan ada seperti Teksi, Bas, LRT, MRT dan juga pilihan pengangkutan moden seperti khidmat Grab dan Uber. Tiada halangan untuk mengekalkan daya tarikan pelancong luar mahupun tempatan untuk mengunjungi Kuala Lumpur.

Siang hari bandar ini tidak pernah sunyi dengan aktiviti penghuninya yang keluar mencari rezeki dan menjalani kehidupan harian.

 

Kredit: #KLFTF

Daya Tarikan Malam Hari.

Tarikan pelancongan siang hari memang tidak menjadi masalah di Kuala Lumpur terdapat pelbagai lokasi yang boleh dituju untuk mengisi jadual harian. Tarikan malam hari atau Kuala Lumpur Nightlife tidak kurang hebatnya.

Malam harinya tidak kurang juga kerana bandar ini ada daya tarikan tersendiri yang mana ada keperluan dan kehendak yang mesti dipenuhi. Untuk berhibur dan berehat ada lokasinya, untuk makan-makan dan lepak santai bersama kenalan juga ada tempatnya.

Suasana Food Truck di pelbagai lokasi sekitar Kuala Lumpur sudah menjadi trend terkini yang mana peniaga makanan boleh bertukar-tukar lokasi dengan hanya menempatkan trak jualan mereka di bahu jalan mahupun kawasan tumpuan awam. Pengunjung sesuatu tempat itu kini tidak perlu risau lagi untuk mencari makanan dan minuman kerana Food Truck inilah penyelesaiannya.

Pilihan makanan yang disediakan juga pelbagai tapi yang penting mudah dan sedap untuk dimakan, kalau nak nasi campur pergi kedai makanan atau restoranlah yer. Harga jualan juga tidaklah mahal sangat boleh dikatakan kenalah harga dan gayanya. Kuala Lumpur Nightlife memang happening dengan pelbagai pilihan lokasi makan-makan.

Selain dari Food Truck terdapat juga lokasi makan-makan yang popular seperti Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru yang telah sekian lama menjadi tumpuan di malam hari untuk makan.

 

Kredit: FB Expo Negaraku.

Kredit: FB Expo Negaraku 2017.

Acara Mega dan Ekspo Di Bandaraya.

Kepelbagaian acara ataupun ekspo tidak kira besar atau kecil di sekitar Kuala Lumpur memang tidak asing lagi ianya pasti akan jadi tarikan penghuninya.

Acara terbaru yang mengambil tempat di dalam kalendar hujung tahun 2017 ini ialah Expo Negaraku 2017 yang baru sahaja dirasmikan semalam 15 November 2017 dan acara ini berlangsung sehingga 15 Disember 2017. Ini bukan sebarang expo tetapi penuh pengisian untuk mendedahkan masyarakat tentang perkembangan terbaru dan perancangan akan datang untuk Kuala Lumpur dan Malaysia.

 

Kredit: mynewshub

Pesta Buah-buahan seringkali juga dijadikan acara tahunan setiap kali datangnya musim buah-buahan yang mempunyai peminatnya tersendiri.

Antara pesta buah-buahan yang sering dijalankan ialah pesta durian. Peminat buah durian adalah dari pelbagai kaum dan inilah unik dan indahnya kepelbagaian bangsa di Malaysia, kita boleh duduk sama menikmati buah-buahan tempatan.

Namun begitu ada juga lokasi tetap penjual durian ini yang selalu jadi tumpuan di sebelah malam yang mana cuaca yang sejuk dan tenang amat sesuai untuk duduk santai bersama teman-teman sambil menikmati raja buah ini. Lokasi yang popular saban tahun setiap kali datang musimnya ialah di Matic Jalan Ampang KL.

Kredit: klccconventioncentre.com

Santai Malam Hari.

Lepas puas kenyang makan-makan bolehlah luangkan masa bersama teman jalan kaki melihat bangunan dan pelbagai binaan lain yang dihiasi dengan lampu pelbagai warna. Hirup udara segar malam hari dapat melapangkan fikiran selepas penat seharian bekerja. Gaya hidup sihat mestilah jadi amalan agar tidak terbeban dengan tekanan hidup yang akan memberi kesan kepada kesihatan diri dan hubungan sesama manusia. Oh ya kalau nak berjalan malam hari pastikan berteman, bukan apa sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri juga.

Pusat senaman beroperasi di malam hari juga banyak kerana ada permintaan yang tinggi dari mereka yang tidak punya masa untuk bersenam di siang hari. Taman Rekreasi juga menjadi tumpuan mereka yang ingin bersenam di sebelah malam.

Bangunan Yang Beroperasi di Malam Hari.

Daya tarikan di Menara Kuala Lumpur malam hari turut disediakan seperti KL Tower Skybox ini yang membolehkan anda melihat panorama malam bandar Kuala Lumpur kerana waktu operasinya dari 9 pagi sehingga 10 malam. Tiket boleh dibeli secara terus di laman web Menara Kuala Lumpur. Pastikan terma dan syarat dipatuhi demi keselamatan dan keselesaan anda serta pengunjung yang lain.

Selain dari Menara KL, Menara Berkembar Petronas KLCC juga ada daya tarikan tersendiri di malam hari. Bangunan tingginya yang bermandikan cahaya terang menjadi tarikan sesiapa sahaja. Berehat santai sambil melihat alam di ruang legar dan taman sekitar KLCC boleh menenangkan fikiran. Selain dari pusat beli-belah yang beroperasi turut tidak ketinggalan Aquaria KLCC dan Galeri Petronas yang buka sehingga 8 malam.

Pusat membeli-belah juga banyak yang beroperasi sehingga lewat malam jadi tidak perlu gusar untuk memikirkan ke mana untuk dihabiskan masa malam hari sekiranya berkunjung ke Kuala Lumpur.

Bandar Yang Tidak Pernah Tidur.

Mungkin inilah ayat yang sesuai untuk menggambarkan secara keseluruhan Kuala Lumpur yang menjadi ibu negara Malaysia sebagai sebuah bandar yang tidak pernah tidur. Setiap saat dan setiap ceruk lokasi pasti ada keperluan dan tarikan tersendiri. Yang malamnya menjadi punca rezeki itulah peniaga, yang malamnya untuk bersenam dan berhibur pasti ada penghuninya.

Kepelbagaian inilah untuk dirai dan dihormati sesame kita agar keharmonian negara akan terpelihara. Hidup bersama dan bertoleransi perlulah jadi amalan tidak kira agama, bangsa mahupun keturunan.

Oh ya tidak lupa juga untuk menjadi peringatan agar kita sama-sama menjaga kemudahan awam yang disediakan sebaik mungkin, jauhi dari melakukan kerosakan. Seandainya terlihat aktiviti merosakkan kemudahan bersama ini sila laporkan kepada pihak yang berwajib agar tindakan dapat diambil. Kemudahan yang rosak akan memberi gambaran buruk kepada pelancong luar, sama-samalah kita jaga sebaik mungkin nama negara di mata dunia. Sayangilah bandaraya Kuala Lumpur, Cintailah Malaysia kerana itulah warisan untuk anak-anak masa depan.

 

Untuk maklumat lanjut senarai tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sila klik iniĀ https://www.traveloka.com/en-my/infographic/malaysia/unseen-malaysia.

 

Ejam Othman

Saya Ejam atau nama sebenarnya Mohd Hairulnizam Bin Othman adalah seorang blogger separuh masa. Kini berkhidmat untuk rakyat jelata. Minat menulis dan merakam gambar sesuai dengan tagline blog ini “Setiap Gambar Ada Cerita”. Hubungi atau kenali saya lebih lanjut. Saya juga menyediakan ruang Advertorial berbayar di blog ini.

You may also like...

1 Response

  1. titan says:

    awat ramai sangat dok cerita pasa lKL ni.

    haha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *